28 July, 2009

K'jaan Akan Naik Taraf Guru j-QAF

July 17, 2009 22:31 PM

K'jaan Akan Naik Taraf Guru j-QAF

KUANTAN, 17 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan menaikkan taraf guru-guru agama daripada lepasan peringkat diploma ke peringkat ijazah dalam usaha untuk memperluaskan pengajaran Jawi, Al-Quran, Arab dan Fardu Ain (J-QAF) ke peringkat sekolah-sekolah menengah, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata usaha memperluaskan pengajaran berkenaan ke peringkat menengah itu adalah bagi memantapkan lagi penguasaan bidang ilmu itu di kalangan para pelajar.

"Sejak program J-QAF diperkenalkan pada tahun 2005, kita lihat murid-murid peringkat rendah telah dapat menguasai asas jawi dan fardhu ain dengan baik.

"Jadi kita akan mempertimbangkan masa yang sesuai untuk memperluaskan J-QAF ke sekolah menengah," katanya kepada pemberita selepas menutup Festival Nasyid Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran peringkat kebangsaan di sini, Jumaat.

Beliau berkata masalah utama dalam usaha meluaskan program J-QAF ke sekolah menengah ketika ini adalah disebabkan kekurangan guru.

"Sehingga kini hanya sebanyak 4,723 sekolah rendah mempunyai program J-QAF dan kementerian mensasarkan sebanyak 6,314 sekolah rendah akan terlibat dengan program J-QAF menjelang tahun 2010.

"Pada masa sama, kementerian akan menaik taraf guru-guru lepasan diploma dalam bidang agama ke peringkat ijazah sebagai syarat utama untuk menjadi guru J-QAF," katanya.

Sementara itu mengulas mengenai insiden berhubung rakaman aksi pergaduhan pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Dungun, Terengganu seperti yang dilaporkan media baru-baru ini, Mohd Puad berkata kementerian memandang serius kejadian tersebut kerana pelajar perempuan terbabit bukan sahaja bergaduh malah menyebarkan rakaman aksi itu di internet.

"Saya sendiri terkejut dengan perlakuan pelajar berkenaan kerana di sekolah, peraturannya ialah setiap pelajar tidak dibenarkan membawa alat telekomunikasi seperti telefon bimbit dan kita harap sekolah akan dapat pastikan pelajar tidak membawa telefon bimbit ke sekolah," katanya.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Sekilas....

Borak Siber