24 November, 2009

Perdalam ilmu sebelum jadi pemimpin

IMAM al-Syafie meninggalkan wasiat berguna dalam menasihati
seseorang. Hal ini supaya nasihat itu didengari dan pada
masa sama tidak menyinggung perasaan orang yang dinasihati.

Katanya, sesiapa yang memberi peringatan dan nasihat kepada
rakannya dalam keadaan sembunyi, maka sesungguhnya dia menasihati
dan memperelokkannya.

Beliau berkata, sebaliknya, sesiapa yang menasihati secara terang,
maka dia menyakiti dan mengkhianatinya.

Imam al-Syarie turut meninggalkan banyak wasiat atau pedoman
mengenai kemuliaan sesuatu ilmu itu.

Katanya: “Orang berilmu bertanya mengenai perkara yang dia sudah
tahu dan perkara yang belum diketahuinya.

“Maka dengan cara ini dia dapat memperkemaskan ilmu sedia ada
dan dapat menimba ilmu yang belum diketahui.”

Katanya, orang jahil sentiasa menyisih diri daripada menerima
pelajaran dan berhenti daripada belajar.

Imam al-Syafie berkata lagi: “Perdalamkan ilmumu sebelum memimpin
kerana apabila sudah menjadi pemimpin engkau tidak mempunyai
jalan lagi untuk mendalami ilmu.

“Perdalamkan segala masalah ilmu agar ia tidak akan menyempitkan
masamu.

“Keelokan orang yang berilmu adalah mulia diri dan kecantikan
ilmu pula adalah warak dan berlemah lembut.”

Imam al-Syafie berkata: “Seseorang itu tidak mampu untuk
menghukum sama ada sesuatu itu halal atau haram, melainkan dengan
ilmu yang dimiliki.

“Tidak akan tercapai ilmu melainkan bersabar di atas segala
kesusahan dalam mencapainya.”

Katanya, orang berakal adalah mereka yang mana akalnya mampu
mengawasi dirinya daripada segala kejahatan.

No comments:

Post a Comment

Sekilas....

Borak Siber