AKU INGIN HIDUP SELAMANYA
Firman Allah swt bermaksud:”Setiap yang bernyawa itu pasti akan
merasakan mati.” (Surah Ali Imran, ayat 185).
ORANG ISLAM BOLEH JADI KAYA KE?
Rasulullah saw bersabda bermaksud:“Berbahagialah hidup di dunia
bagi orang yang mengumpul kebajikan untuk bekalan hari akhiratnya,
sehingga dia memperoleh redha Tuhannya. Dan celakalah hidup di
dunia bagi orang yang dipengaruhi oleh dunia, hingga dia terhalang
daripada (mengerjakan) amalan untuk akhiratnya, dan lalai untuk
memperoleh redha Tuhannya.” (Hadis riwayat al-Hakim).
AKU NI CERDIK ATAU DOT DOT?
Rasulullah saw bersabda bermaksud: “Orang yang sempurna akalnya
(yakni cerdik dan pintar) ialah orang yang suka memeriksa dirinya
sendiri, di samping banyak beramal sebagai bekalan untuk
menghadapi selepas matinya. Ada pun orang yang lemah (yakni yang
bodoh) pula ialah orang yang selalu mengikut runtunan hawa
nafsunya dan berangan-angan (yakni mendapat kurniaan Allah tanpa
beramal).”(Hadis riwayat at-Tirmizi, Ahmad dan Ibnu Majah)
AZAB KUBUR: BOLEH PERCAYA KE?
Rasulullah saw bersabda maksudnya:“Kubur adalah tempat pertama
menuju akhirat, kalau seseorang itu sudah lepas dalam persoalan
kubur, maka ujian selepasnya akan menjadi lebih ringan, tetapi
kalau belum lepas, maka yang sesudahnya akan menjadi lebih hebat/
dahsyat lagi." (Hadis riwayat at-Tirmizi).
TENGOK ORANG MATI SENANG JE?
Rasulullah saw bersabda bermaksud:“Sesungguhnya mati itu adalah
amat pedih seumpama ditetak dengan pedang beberapa kali atau
digergaji atau digunting dengan beberapa kali guntingan.”
(Hadis riwayat Abu Na'im).
AKU KAYA, AKU PANDAI, AKU SIHAT SEBAB AKU USAHA SENDIRI.
Sabda Baginda saw bermaksud:“Pergunakan (rebutlah) lima keadaan
sebelum datang lima keadaan yang lain, iaitu keadaan mudamu
sebelum keadaan tuamu, keadaan sihatmu sebelum datang keadaan
sakitmu, keadaan ketika engkau kaya sebelum datang keadaan
engkau miskin, keadaan ketika engkau lapang sebelum datang waktu
sibuk, dan keadaan semasa engkau masih hidup sebelum datang
kematianmu.” (Hadis riwayat at-Tirmizi).
Pengajaran daripada maksud hadith:
1. Mengingati mati bukan untuk menakutkan manusia atau melenyapkan
kebahagiaan dan keseronokan hidup di dunia.
2. Islam mengajarkan agar manusia banyak mengingati mati, dengan
harapan ia menjadi pendorong untuk aktif melakukan perkara
kebajikan dan amal salih.
3. Oleh kerana kematian itu sesuatu yang pasti menemui seseorang
dan tidak pula diketahui bila saatnya, maka orang yang selalu
ingat mati pasti akan sentiasa bersiap sedia dengan tekun dan
terus memperhebatkan usaha melakukan amal salih.
4. Amalan buruk dan baik akan menjadi penilaian Allah pada hari
akhirat kelak. Inilah sebenarnya sifat orang yang cerdik menurut
Islam
5. Saidina Abu Bakar As-Siddiq pernah berkata : “Sesiapa yang
memasuki kubur (alam barzakh) tanpa bekalan (berupa amal salih),
seolah-olah dia belayar di lautan tanpa kapal atau sampan.”
6. Segala kelebihan berupa pangkat, harta, kesombongan,darjat
dan kekuasaan hanya mengiringi seseorang ke liang lahad. Bekalan
sebenar hanya berupa amalan baik yang selama ini kita usahakan.
7. Walau sehebat manapun kedudukan seseorang, kematian
adalah perkara yang pasti akan ditempuhinya.
8. Sememangnya dunia ini tempat untuk beramal, maka
manfaatkanlah masa hidup yang Allah kurniakan untuk berbuat
kebajikan sebanyak-banyaknya.
9. Ingatlah bahawa saat kematian itu amat pedih dan mengerikan,
justeru kita perlu memanfaatkan usia yang masih ada untuk
beramal salih.
Sekian, Wallahu a’lam.
“kemudian Kami datangkan kepada kamu syariat (peraturan) dalam
urusan (agama) itu,maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu
ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui”.الجاثية: 18
No comments:
Post a Comment