Puasa itu asasnya mujahadah
Intipati puasa itu adalah mujahadah. Maksud mujahadah ini adalah
mujahadah melawan nafsu. Kerana sifat nafsu itu sendiri sangat
mengajak kepada kejahatan. Nafsu itulah yang telah merosakkan
fitrah manusia. Fitrah itu asalnya bersih, mahu kepada Tuhan.
Fitrah itu asalnya kenal Tuhan. Tetapi malangnya, nafsu datang
merosakkan fitrah. Nafsu ini adalah ibarat orang jahat dalam
rumah. Rumah yang asalnya tenang dan bahagia, dikucar-kacirkan.
Selagi tak selesaikan orang jahat ini, selagi itulah ahli
keluarga rumah akan dipengaruhinya. Selagi itulah rumah jadi
porak-peranda. Kalau kita tak buat apa-apa, bermakna setiap
waktulah kita biarkan orang jahat itu di rumah kita. Cuba
bayangkan. Dia duduk situ. Makan situ. Tidur situ. Kita biarkan
dia bermaharajalela membuat jahat sesuka hatinya di dalam rumah.
Jadi berbalik kepada fitrah tadi, fitrah yang awalnya bersih
jadi kotor. Fitrah yang awalnya baik jadi jahat. Fitrah yang
asalnya mahu kepada Tuhan, sudah tidak mahu. Disebabkan
pengaruh nafsu, fitrah sudah melawan kehendak Tuhan.
Yang Tuhan larang, itulah kesukaannya. Itulah yang ingin
dilakukannya. Itulah keseronokannya. Yang Tuhan suruh,
tak pula mahu dibuat. Kalau nak buat pun, secara terpaksa sahaja.
Kalau kita biarkan sahaja, tak buat apa-apa, nafsulah yang
berperanan dalam diri kita. Akibatnya, rosaklah fitrah
kita terus-terusan. Allah tak izinkan ia berlaku begitu.
Walaupun kita tak berbuat apa-apa, Tuhan dengan rahmat,
kasih sayangNya, mahukan hamba itu kembali kepadaNya.
Jadi, Tuhan datangkan 1 bulan Ramadhan untuk kita lalui
selepas 11 bulan fitrah kita dirosakkan oleh nafsu. Moga-moga
dalam 1 bulan ini, fitrah kita dapat di “overhaul”.
Proses overhaul ini tidak akan dapat berlaku tanpa mujahadah.
Itulah asasnya. Kena mujahadah dalam bulan Ramadhan agar proses
itu berjaya. Maksud mujahadah itu sendiri kena difahami.
Ia bermaksud mengumpulkan segala kekuatan yang ada pada kita,
lahir dan batin untuk membuat perkara yang disuruh Tuhan, dalam
keadaan nafsu tidak sukakannya. Dan meninggalkan perkara yang
dilarang Tuhan dalam keadaan nafsu berkehendak melakukannya.
Mujahadah itu tidak semudah yang disangkakan. Ia memang perit
dan sakit jika dilakukan. Maklum sahajalah, nafsu jahat yang
sudah mendarah mendaging dalam kehidupan hendak dipulihkan.
Sebenarnya, nafsu dan fitrah ini saling kait-mengait. Kalau nafsu
berperanan, fitrah lemah. Kalau fitrah berperanan, nafsu pula yang
lemah. Tidak boleh kedua-duanya berperanan sekali. Mesti salah satu
sahaja. Jadi, bila fitrah sudah di”overhaul” dan menjadi baik, maka
nafsu otomatik akan menjadi lemah. Nafsu akan turut terdidik dan
ikut kata fitrah. Di waktu itu, fitrah yang berperanan dalam diri.
Fitrah kembali menjadi seperti asalnya. Inilah natijah puasa iaitu
mengembalikan fitrah kepada watak semulajadinya yang mahukan Tuhan
dan berbuat untuk Tuhan. Namun, ia hanya akan berlaku bilamana puasa
itu didalamnya ada mujahadah melawan nafsu.
Sekian.
No comments:
Post a Comment